Rumah nenek jadi kedai makan
|
HAMPARAN kayu-kayu lama yang dijadikan lantai menyambut mesra setiap langkah tetamu ke dalam perut kafe yang terletak di pekan Semenyih, Selangor ini.
Saat jelingan mata begitu asyik menyaksikan gantungan perhiasan unik berwarna-warni di Kafe 12 Twelve ini, aroma kopi panas seperti berlumba-lumba menerobos rongga hidung.
Ternyata, perjalanan dari Kuala Lumpur yang memakan masa selama lebih 30 minit terasa berbaloi.
Bukan sahaja dikelilingi panorama indah yang terlindung daripada hiruk-pikuk kota, malah suasana kafe yang tidak ubah seperti galeri seni itu juga berjaya membangkitkan perasaan tenang dan ceria.
Menurut pemiliknya, Lee Hai Oh, 37, kafe yang berkeluasan 370 meter persegi itu merupakan rumah kayu peninggalan nenek moyangnya kira-kira 60 tahun lalu.
Sekarang, ia diubah suai dan dihidupkan dengan warna-warna ceria serta sarat elemen seni sehingga menjadi sebuah kafe dengan identiti tersendiri.
Kafe punk
"Pada asalnya rumah tempat saya membesar ini terdapat tiga bilik tidur. Namun, apabila semua adik-beradik sudah besar, ia dibiarkan kosong begitu sahaja.
"Jadi, saya ambil inisiatif untuk membina semula rumah ini sekali gus menceriakan lagi pekan lama ini," kata bapa kepada dua orang cahaya mata ini.
Kafe 12 terletak kurang 10 minit perjalanan ke Bukit Broga yang terkenal dalam kalangan penggemar aktiviti sukan mendaki.
Untuk tujuan tersebut, menurut Hai Oh yang lebih mesra dipanggil Ali Baba, dia membelanjakan hampir RM300,000 untuk kos mengubah suai.
Namun begitu, 90 peratus daripada bangunan kafe yang diperbuat daripada kayu itu masih lagi mengekalkan bahan-bahan binaan asal rumah tersebut.
Walaupun lain daripada yang lain, namun, ujarnya, idea dan konsep kafe tersebut diperoleh daripada bahan bacaan hiasan dalaman terbitan luar negara selain daripada filem-filem antarabangsa yang ditontonnya.
"Jujur saya akui, saya memang tiada pengetahuan asas dalam dekorasi mahupun pengendalian kafe.
"Tetapi oleh sebab saya begitu meminati seni, saya olah tempat ini sedikit demi sedikit mengikut cita rasa saya sehinggakan saya tidak menyangka hasilnya boleh menjadi seperti ini," jelasnya.
Ujar Ali Baba, disebabkan kafe tersebut banyak memakai elemen seni dan berwarna-warni, dia memilih konsep punk sebagai tema kafe yang baru 10 bulan beroperasi ini.
"Konsep punk dipilih kerana identiti yang cuba ditampilkan oleh kafe ini bersifat sederhana tetapi cantik.
"Disebabkan itu juga saya banyak memilih warna-warna terang dan kontra seperti merah, biru, kuning serta hijau kerana ia berupaya membangkitkan suasana ceria," jelasnya.
|
Feng shui
Sebahagian daripada aksesori dan perabot yang memenuhi kafe tersebut merupakan peninggalan keluarga serta koleksi Ali Baba sendiri sementara sebahagian lagi dibeli di kedai barangan terpakai.
Lazimnya, masyarakat Cina begitu mempercayai ramalan feng shui. Justeru itu, segala dekorasi dan susun atur dirujuk kepada pakar feng shui terlebih dahulu kerana ia dipercayai dapat membawa tuah kepada pemilik.
Namun menurut Ali Baba, dekorasi kafe itu tidak mengikut ramalan tersebut kerana dia yakin perkara tersebut tiada kaitan dengan tuah seseorang.
"Bagi saya perkara tersebut kepercayaan masyarakat kami sahaja. Saya percaya tuah seseorang bergantung kepada usaha yang dilakukan kerana rezeki tidak akan datang bergolek," jelasnya sambil memberitahu, pelanggan kafe itu terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu dan India.
Bijak menyusun atur dekorasi, keunikan kafe tersebut terserlah dengan gantungan kerusi dan bakul-bakul yang dijadikan lampu pada bahagian siling. Kerusi makan yang diambil daripada bas lama membuatkan kafe tersebut nampak semakin menarik.
Bukan itu sahaja, kesemua meja makan di sini diperbuat daripada pintu kayu terpakai. Pemilik juga menjadikan lebih 10 buah basikal lama sebagai hiasan sampingan.
Comments
Post a Comment